Ketika PM Bergerak Laju, Negeri Pula Sengaja Melambatkan

Tindakan kerajaan PAS Kelantan yang mendakwa sengaja melambatkan pembangunan di negeri itu supaya rakyat “tidak ketinggalan” disifatkan sebagai satu alasan di atas kegagalan mereka mentadbir negeri.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan itu menunjukkan sifat kurang baik dari seorang pemimpin memandangkan banyak perkara yang boleh dilakukan untuk rakyat di negeri itu.

“Jangan fikir kalau kita perlahan, orang akan tunggu kita kerana dunia sentiasa bergerak. Lagipun orang Kelantan boleh buat apa sahaja yang orang lain buat. Tiada sebab orang Kelantan mahu mengasingkan diri kerana yang penting mesti ada peluang.

“Jadi, tugas kerajaan negeri adalah menyediakan peluang. Kita tidak boleh mencari alasan untuk menyenangkan hati kerana ia tugas kerajaan bila mendapat mandat dari rakyat tidak kira kerajaan negeri mahupun pusat,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan mengakui pembangunan negeri itu agak terkebelakang berbanding negeri lain dan ia sesuatu yang disengajakan.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menggerakkan pembangunan berbeza daripada negeri lain.

“Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.

“Kalau kita cepatkan pembangunan, ambil dasar yang bebas kita boleh setanding dengan negeri seperti Selangor, tapi bahayanya kita risau rakyat akan ketinggalan.

“Orang kampung tak mampu turut dengan pembangunan,” katanya

Mengulas lanjut, Annuar berkata, suatu ketika PAS pernah menyalahkan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana kerajaan pusat melambatkan pembangunan negeri.

“Dahulu ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan negeri kata dia tidak boleh bergerak laju kerajaan pusat melambatkan pembangunan negeri.

“Namun bila sekarang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedia bergerak laju, kerajaan negeri pula yang melambatkan. Sampai bila rakyat Kelantan akan sentiasa ketinggalan,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri sepatutnya merebut peluang daripada sikap terbuka dan keadilan yang diamalkan oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib dengan mengetepikan soal politik demi kemajuan negeri. – 2 Januari 2018.