Dr. Mahathir Cuba Tutup Kesilapan

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan para mufti dalam peristiwa Memali pada 1985 dilihat sebagai salah satu langkah terdesak bekas Perdana Menteri itu untuk menutup kesalahannya.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, dia cukup bersetuju sekiranya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat ditubuhkan segera bagi menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

Katanya, Dr. Mahathir juga tidak sepatutnya mengaitkan amanat Haji Hadi sebagai punca tragedi tersebut kerana sebagai seorang yang bijak beliau seharusnya melihat isi kandungan ucapan berkenaan dengan menyeluruh.

“Amanat Haji Hadi tidak ditujukan kepada sesiapa atau dengan tujuan mengkafirkan sesama Islam sebaliknya ia lebih kepada garis dan batas-batas yang bertentangan dengan Islam,” katanya.

PAS mengulangi desakan supaya satu RCI ditubuhkan bagi merungkai kebenaran di sebalik tragedi Memali yang pada hari ini dipolitikkan oleh individu tertentu untuk kepentingan peribadi.

Sebelum itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengeluarkan kenyataan  menyalahkan mufti kerana tidak menghalang amanat dikeluarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 sehingga mencetuskan kejadian tersebut.

Tragedi Memali di Baling pada 19 November 1985 memalitkan catatan hitam apabila 18 nyawa terkorban dan ketika banyak pihak menuding perkara itu ke atas bahu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketika kejadian itu, beliau bertindak menyalahkan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam. – 3 Januari 2018.