Dr. Mahathir Kata Hadi Kafir?

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang seorang kafir kerana bekerjasama dengan UMNO.

Hadi juga katanya, seorang pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO untuk memecahbelahkan undi rakyat dalam gabungan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Orang yang menyalahgunakan Islam ialah Hadi. Hadi dalam amanatnya (pada 1981) mengatakan kerajaan (Barisan Nasional) ialah sebuah kerajaan kafir, dan ia wajar ditentang dan kalau mati dalam perjuangan, masuk syurga. Itu janji dia dan ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

“Jadi sekarang dia bekerjasama dengan UMNO, dan pada suatu masa bekerjasama dengan DAP, jadi sekarang dia sendirilah kafir,” katanya di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, Hadi menyedari parti Islam pimpinannya itu akan kalah dalam PRU14 namun tetap memilih untuk bertanding bagi “memecahkan undi pembangkang”.

PAS baru-baru ini memaklumkan akan bertanding 130 kerusi Parlimen, dan 50 kerusi untuk sekutunya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mewakili parti itu dalam PRU14.

“Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 130 kerusi pada masa ini, tetapi kami mungkin mensasarkan 50 kerusi lagi. Kami boleh menamakan calon daripada beberapa rakan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Hadi sebagaimana dilaporkan media. – 3 Januari 2018.