Kerajaan PAS Kelantan Nafi, Kata Husam Fitnah

Kerajaan PAS Kelantan menafikan kononnya kerajaan negeri telah menamatkan kontrak pembinaan jalan raya dengan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) sebagaimana didakwa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa.

Malah, kerajaan itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah bagi memburukkan kerajaan negeri semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, apa yang berlaku adalah persetujuan dengan kedua-dua belah pihak (mutual termination) dengan syarat tertentu.

“Saya ingin tekankan di sini ialah apabila Husam memfitnah kononnya kerajaan negeri telah menamatkan kontrak dan yang kedua, kita (kerajaan negeri) telah disaman oleh syarikat berkenaan. Perkara ini jelas tidak betul.

“Saya ingin nasihatkan kepada beliau (Husam) agar tidak membuat sebarang kenyataan yang bertujuan memburukkan kerajaan negeri.

“Peguam kita juga sedang meneliti kembali rakaman video di You Tube terhadap sebarang kenyataan yang dilemparkan dan kalau ada yang berunsur fitnah, kita akan buat laporan polis seterusnya megambil tindakan mahkamah,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Dalam program Bicara Anak Kelantan “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa” yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu pada 28 Disember tahun lalu Husam, yang juga bekas Exco kerajaan negeri mendedahkan beberapa isu dalam pentadbiran kerajaan PAS Kelantan. – 3 Januari 2018.