“Atas Ugutan Saman Itu, Saya Menunggu” – Husam

Bekas Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sedia menunggu ugutan saman kerajaan PAS Kelantan berhubung pendedahannya mengenai isu penamatan kontrak pembinaan jalan raya dengan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, pendedahannya adalah berdasarkan dokumen dan mempersoalkan kenapa kerajaan negeri suka berlindung di belakang ‘dokumen sulit’.

“Fakta saya berdasarkan dokumen tertentu dan kerana itu kerajaan negeri, demi melindungi sesuatu yang tidak baik, terpaksa secara terbuka mengugut untuk mengambil tindakan kepada saya atau pihak yang membocorkan dokumen itu.

“Akhirnya, saya mendapat ‘penghormatan’ atas ‘berdokumennya’ pendedahan saya. Sama ada rakyat Kelantan boleh menerima atau tidak tindakan PAS merahsiakan sesuatu yang buruk dari rakyat, terpulang kepada rakyat Kelantan tentukan dalam PRU nanti,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.

Dalam program Bicara Anak Kelantan “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa” yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu pada 28 Disember tahun lalu Husam, mendedahkan kononnya kerajaan negeri telah menamatkan kontrak pembinaan jalan raya dengan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).

Bagaimanapun dakwaan Husam itu dinafikan kerajaan negeri selepas lima hari pendedahan dibuat dengan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah bagi memburukkan kerajaan negeri semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, apa yang berlaku adalah persetujuan dengan kedua-dua belah pihak (mutual termination) dengan syarat tertentu.

“Saya ingin tekankan di sini ialah apabila Husam memfitnah kononnya kerajaan negeri telah menamatkan kontrak dan yang kedua, kita (kerajaan negeri) telah disaman oleh syarikat berkenaan. Perkara ini jelas tidak betul.

“Saya ingin nasihatkan kepada beliau (Husam) agar tidak membuat sebarang kenyataan yang bertujuan memburukkan kerajaan negeri.

“Peguam kita juga sedang meneliti kembali rakaman video di You Tube terhadap sebarang kenyataan yang dilemparkan dan kalau ada yang berunsur fitnah, kita akan buat laporan polis seterusnya megambil tindakan mahkamah,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Hanifa turut melahirkan rasa hairan bagaimana dokumen mengenai perjanjian penting antara kerajaan negeri dengan syarikat pemaju Lebuh Raya Rakyat itu boleh terlepas.

“Kita juga sedang teliti jika dokumen itu disebarkan dengan apa cara sekalipun oleh syarikat atau pegawai untuk diambil tindakan.

“Ini kerana mereka telah membocorkan maklumat,” kata Hanifa.

Husam mempersoalkan keperluan ugutan untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang memberikan dokumen kepada beliau jika faktanya salah.

“Ia menunjukkan, apa yang saya dedahkan adalah benar dan Kerajaan Kelantan cemas dengannya. Kerana itu, respon Kerajaan Kelantan sangat lambat, terbatas dan lebih berunsur ugutan dari penjelasan.

“Atas ugutan saman itu, saya menunggu,” kata Husam.

Mengulas lanjut, Husam turut mempersoalkan lain-lain perkara berkaitan pembinaan lebuhraya yang dibangkitkan beliau dalam program berkenaan langsung tidak mendapat respon Hanifa.

“Adanya seseorang bernama Bin Daud yang telah menerima wang suapan bagi pihak orang politik kerana meluluskan kontrak berkenaan.

“Bahawa sejumlah RM 10 juta telah diminta dari salah satu syarikat yg terlibat dengan pembinaan ini sebagai ‘nafkah politik’.

“Bahawa penamatan atau penerimaan penyerahan kontrak tidak sepatutnya berlaku kerana syarikat yang dilantik masih berhasrat meneruskan pembinaan dan mereka telah pun berjaya melaksanakan pembinaan dalam masa lapan bulan dengan cepat dan berkesan,” Katanya. – 4 Januari 2018.