Tiada Tarikh Pilihan Raya Yang Dibincang

Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan perjuangan menjuarai isu-isu rakyat.

Mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN itu bagaimanapun tidak menyentuh soal agihan kerusi dan senarai muktamad calon.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, segala perincian mengenai jumlah kerusi yang bakal diagihkan kepada komponen akan ditentukan kemudian.

“Tiada tarikh pilihan raya dibincangkan…secara umum mengenai persediaan (bagi pilihan raya). Nanti kita bincang lagi, kita ada masa lagi,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, senarai calon bagi semua parti komponen telah diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dimuktamadkan.

“Parti komponen BN lebih bersatu dan sentiasa bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, mesyuarat itu menekankan soal kebersamaan BN dalam menghadapi PRU14 termasuk persiapan yang perlu dibuat setiap parti komponen. – 4 Januari 2018.