Dr. Mahathir Semakin Mengarut

Tindakan melabel Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai kafir dan pengkhianat kerana mengadakan kerjasama dengan UMNO membuktikan Tun Dr. Mahathir semakin mengarut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, selain mengarut, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga kuat melalut ketika memberikan pandangan.

“Dia ini macam mahu ambil peranan mufti pula. Dulu dia marahkan PAS kononnya parti kita ini mengkafirkan orang. Tiba-tiba dia pula yang kafirkan orang.

“Masalah mengkafirkan Presiden PAS ini, saya rasa memang mengarut. Dr. Mahathir semakin lama nampak semakin melalut dalam memberi pandangan dan menyatakan pendirian beliau,” katanya.

Mohd. Amar mengulas serangan terbaharu Dr. Mahathir yang melabelkan Abdul Hadi sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO yang pernah menjadi musuh politik PAS.

Menerusi reaksi balas Abdul Hadi pula memulangkan paku buah keras dengan menyifatkan Dr. Mahathir sebagai sudah melampau kerana tergamak melabelnya kafir dan pengkhianat.

Meskipun mengakui tohmahan yang dilemparkan Dr. Mahathir itu cukup berat, Abdul Hadi tetap memaafkan bekas Perdana Menteri itu serta mengharapkan beliau insaf atas perbuatannya.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, banyak pihak salah faham terhadap PAS dalam isu kafir-mengkafir.

“PAS tidak mengkafirkan sesiapa. Kita tak kata orang itu kafir, orang ini kafir. Apa yang disebut ialah garis atau batas antara iman dan kufur. Barangsiapa yang melanggar batas itu, dia jatuh kafir, tidak kiralah siapa dia.

“Saya ambil contoh, guru sebut barangsiapa kentut, maka wuduknya batal. Tidak kiralah sesiapapun. Dia tidak kata siapa-siapa. Boleh jadi ada orang itu terkentut dan dia terasa,” katanya. – 5 Januari 2018.