JSJK Rakam Keterangan Isa

Datuk Seri ISa Samad hari ini memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bekas Pengerusi Felda itu hadir di pejabat JSJK pada pukul 10.30 pagi.

“Kita masih dalam proses merakam percakapan beliau…proses ini akan disambung selepas solat Jumaat nanti,” katanya kepada pemberita.

Amar Singh berkata, pihaknya memanggil lapan individu termasuk pegawai Felda serta pihak pemaju bagi merakam percakapan mereka selain mengambil keterangan daripada seorang lagi individu pada Isnin depan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan setakat ini memfokuskan kepada isu pemindahan hak milik tanah Felda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Felda sebelum ini dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun, 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Isa menjadi pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari, 2011 hingga 19 Jun lalu serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai, 2013 hingga 2017. – 5 Januari 2018.