Pembangkang Kucar-Kacir Sejak PPBM Muncul

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih layak digelar pengkhianat sebenar kerana beliau menjadi punca pakatan pembangkang menjadi kucar-kacir sebagaimana sekarang.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, kemunculan Dr. Mahathir dan PPBM tidak membantu mengukuhkan pembangkang, sebaliknya hanya menimbulkan satu persatu masalah dalam blok pembangkang.

“PKR jadi kelam-kabut. Pakatan Harapan jadi kelam-kabut. Semua ini berlaku sejak Dr. Mahathir muncul.

“Pada pandangan saya, Dr. Mahathir ini niat tersembunyi beliau ialah merosakkan pembangkang, bukan membantu pembangkang menentang BN seperti yang kita harap,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Dr. Mahathir melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO yang pernah menjadi musuh politik parti itu. Beliau turut menggelar PAS kafir.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, Dr. Mahathir yang selama ini bersikap anti-PAS memang boleh dianggap semakin mengarut dan kuat melalut ketika memberikan pandangan.

“Dia ini macam mahu ambil peranan mufti pula. Dulu dia marahkan PAS kononnya parti kita ini mengkafirkan orang. Tiba-tiba dia pula yang kafirkan orang,” katanya.

Menurut Mohd. Amar, misi PAS tetap sama iaitu menentang Barisan Nasional (BN) dan perkara tersebut dibuktikan apabila kita bakal meletakkan calon di hampir semua kerusi yang akan ditandingi musuh utama, UMNO dalam PRU-14.

“Kalau mana-mana pihak berhasrat mahu menumbangkan UMNO dan BN, jangan ganggu kerusi tradisi PAS. Barulah tidak berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru.

“PPBM dan PAN kena sedar, dia parti baharu. Jadi sebenarnya merekalah pengacau kepada suasana politik sedia ada. PAS sudah lama ada. Kita memang ada kerusi tradisi sendiri,” katanya. – 5 Januari 2018.