Bin Daud Dan ‘Nafkah Politik’ Dalam Lebuhraya Rakyat

Selepas diugut saman dalam pendedahan mengenai isu Lebuhraya Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa tampil lagi bersama pendedahan terbaharunya berkaitan isu tersebut.

Kali ini beliau mendedahkan seorang individu yang ber-bin Daud yang dipercayai terlibat dalam isu tersebut.

“Pada Ogos/September 2016 dan Oktober/November tahun yang sama, seseorang namanya ber-Bin Daud telah menerima sejumlah wang dari syarikat kontraktor pembinaan Lebuhraya Rakyat atas tajuk ‘nafkah politik’.

“Ia sebahagian dari jumlah RM10 juta yang dituntut sebagai ‘nafkah politik’ dari syarikat berkenaan, sebelum perjanjian ditamatkan melalui ‘settlement agreement’ bertarikh 14 Mac 2017,” kata Husam menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebooknya.

Husam berkata, Bin Daud mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembinaan Lebuhraya berkenaan.

Beliau mendakwa, mengenali individu ber-Bin Daud itu dan menyifatkannya sebagai seorang yang baik.

“Pendedahan ini tidak sama sekali bertujuan menyusahkan beliau. Ia hanya bertujuan menghentikan amalan sebegini, apatah lagi bagi pembinaan Lebuhraya Rakyat di mana semua pihak sepatutnya berusaha mempermudahkan kejayaan pembinaannya dan bukannya ‘menadah tangan’ di celah kepayahan wang sedia ada kerajaan negeri Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Exco berkenaan memberikan penjelasan lanjut berhubung pendedahannya itu.

“Menteri Besar sepatutnya bertindak membenteras amalan ini dan bukannya menghalakan muncung senapang kepada saya yang mempunyai tanggungjawab sebagai ADUN yang dipilih rakyat,” tegasnya. –

Tambahnya, sebagai sebuah Kerajaan Islam, bermaruahkah untuk ‘menadah tangan’ menahan lukah bagi ‘nafkah politik’? Apa lagi, tumpuan terpenting sepatutnya ialah menyiapkan Lebuhraya Rakyat, bukan ‘menahan lukah’ di talian sempit, di mana kewangan Kerajaan Negeri sudah sedia terhimpit. – 6 Januari 2018.