Insaf, Bertaubatlah Dr. Mahathir

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad melabel Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai peng­khianat hanya di­sebabkan me­ngadakan kerjasama dengan UMNO membuktikan bekas Perdana Menteri itu benar-benar terdesak dan semakin hilang arah.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, di peringkat umur yang sudah semakin lanjut, Dr. Mahathir sepatutnya insaf dan bertaubat dengan segala kesilapan lalu seterusnya kembali kepada ajaran Islam sebenar.

“Saya tidak nampak Tok Guru (Abdul Hadi) sebagai pengkhianat melainkan Dr. Mahathir itu sendiri yang sudah hilang arah.

“Dia (Dr. Mahathir) sepatutnya menyambut pelawaan Tok Guru berjuang menegakkan Islam kerana di dalam umur sekarang ini, Dr. Mahathir sudah seharusnya melaksanakan sesuatu dengan berpandukan kepada al-Quran,” katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu telah melabelkan Abdul Hadi sebagai pengkhianat ke­rana bekerjasama dengan UMNO.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir juga menuduh Abdul Hadi hanya memperalatkan Islam ke­rana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan perlu ditentang.

Tampil memulangkan paku buah keras terhadap serangan itu, Abdul Hadi menyifatkan Dr. Mahathir sebagai melampau dan berharap Pengerusi Pakatan Harapan yang didalangi DAP itu insaf atas perbuatannya.

Mengulas lanjut, Mohd. Syukri berkata, beliau tidak melihat Pakatan Harapan mempunyai peluang yang cerah untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, Dr. Mahathir yang terdesak dengan situasi itu dilihat cuba mengalih strategi dengan menyerang PAS.

“Kita sama sekali tidak tergugat dengan serangan Dr. Mahathir itu,” katanya. – 6 Januari 2018.