Masjid Institusi Penyatuan Ummah

Masjid bukan sekadar tempat beribadat, sebaliknya berperanan sebagai sebuah institusi yang boleh merapatkan saf dan menjadi medan penyatuan ummah di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pergolakan yang terjadi di sesetengah negara Islam seperti di rantau Timur Tengah bermula dengan perpecahan sesama sendiri.

Sehubungan itu kata beliau, orang Melayu dan umat Islam wajar menjadikan perkara itu sebagai iktibar bagi mengelak perkara sama terjadi di negara ini.

“Jangan hanya kerana kita berbeza pandangan tentang politik, kita bersengketa sehingga berlarutan ke dalam masjid.

“Adalah lebih baik kita memantapkan peranan rumah Allah SWT ini dengan pelbagai program yang dapat meningkatkan ukhwah dan mencetuskan penyatuan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian selepas selesai solat Maghrib dan meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah Masjid Bustanul Maarif, Kampung Bechah Resak.

Sementara itu, Imam Masjid Bustanul Maarif, Che Suhaimi Che Awang menyambut baik kenyataan Mustapa dan pihaknya sentiasa mencari jalan bagi melaksanakan program yang mampu merapatkan ukhwah masyarakat.

“Amalan politik sempit yang mengajak masyarakat berpecah-belah tidak berlaku di sini kerana semua pihak mengamalkan pendekatan yang matang dan harmoni.

“Masjid Bustanul Maarif dibina sejak empat tahun lalu dan pihak pengurusan dalam usaha meningkatkan lagi kemudahan serta infrastruktur di sini termasuk merancang mewujudkan pusat riadah bagi mengajak golongan belia mendekati masjid,” katanya. – 6 Januari 2018.