Pakatan Harapan Tiada Hala Tuju Jelas

Kegagalan Pakatan Harapan diketuai DAP mengumumkan nama calon Perdana Menteri menunjukkan gabungan tersebut tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, apa yang jelas pembentukkan pakatan tersebut hanya bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan untuk membela nasib rakyat.

Katanya, situasi tersebut jauh berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai polisi konsisten iaitu sentiasa berusaha memajukan negara demi faedah rakyat selain menjamin Malaysia dalam keadaan aman dan stabil dengan rakyatnya bersatu padu.

“Dalam Pakatan Harapan bukan ke arah itu, dia hanya hendak pecah-belahkan rakyat. Adakah gabungan seperti ini kita mahukan pada masa akan datang. Sehingga kini, mereka masih tidak tahu siapa hendak jadi ketua malah berhasrat melantik Perdana Menteri sementara.

“Selama ini, saya tidak pernah dengar lagi ada Perdana Menteri sementara. Jadi saya rasa, rakyat boleh menilai sendiri di mana kedudukan Pakatan Harapan ini,” katanya.

Beliau mengulas ketiadaan kesepakatan Pakatan Harapan dalam menentukan calon Perdana Menteri pilihan mereka walaupun telah mengadakan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan kelmarin.

Sebelum ini, kecelaruan Pakatan Harapan terus diperkatakan apabila DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta PAN bersetuju memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri namun dibantah PKR yang masih berpegang pada pendiriannya untuk melantik Pengerusi PPBM itu sebagai Perdana Menteri sementara.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, beliau percaya rakyat semakin cerdik dan matang bagi memilih parti yang boleh membawa mereka pada masa hadapan bukan bergerak ke belakang.

“Bagi saya kalau kita sokong Pakatan Harapan kita bergerak ke belakang sebenarnya, sebab kebanyakan pemimpin mereka orang yang sama sejak 60-an lagi, tiada muka baharu.

“Lagipun, parti dalam gabungan tersebut adalah parti anak beranak yang berjuang semata-mata demi kepentingan diri sendiri,” katanya. – 6 Januari 2018.