Mahathir PM, PKR Masih Belum Tentukan Keputusan

PKR belum menentukan keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya untuk menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu menenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah memberi pandangan supaya isu tersebut ditentukan melalui keputusan secara konsensus semua parti dalam gabungan itu.

Katanya, keputusan mencalonkan Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan itu juga perlu mendapat maklum balas daripada semua rakyat.

“Ini kerana rakyat harus diberikan kuasa untuk menentukan masa depan negara bukannya ditentukan oleh mana-mana individu. Saya percaya Pakatan Harapan akan berlapang dada menerima mandat daripada rakyat,” katanya.

Mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Khamis lalu gagal mencapai kata sepakat dalam soal siapa yang bakal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi PRU-14.

Bagaimanapun difahamkan tiga buah parti dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN bersetuju untuk memilih Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri namun dibantah oleh PKR.

Ia memandangkan PKR dikatakan masih berpegang kepada pendiriannya untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perkara itu disahkan oleh Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, apa yang penting calon Perdana Menteri itu nanti adalah individu yang boleh melakukan reformasi dalam sistem kenegaraan. – 7 Januari 2018.