UMNO Bercadang Ambil Semula DUN Guchil

UMNO Kelantan bercadang untuk mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil setelah ia dipinjamkan kepada Parti Progresif Penduduk (PPP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada PRU13 kerusi tersebut dipinjamkan kepada parti berkenaan yang merupakan sebahagian daripada ketetapan dibuat bersama parti- parti kompenan Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Kata Mustapa, setakat ini hanya DUN Kota Lama sahaja yang tidak ditandingi oleh UMNO.

“Sebaliknya ia diberikan kepada parti kompenan BN iaitu MCA,” katanya.

Pada PRU13, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof dari PPP di namakan calon BN bagi Dun Guchil namun tewas kepada wakil PKR, Mohd. Roslan Puteh dengan majoriti tipis 492 undi.

Terdahulu Mustapa mengadakan pertemuan bersama jentera parti Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bechah Semak, Tendong di Pasir Mas.

Beliau turut meluangkan masa turun padang untuk menziarah pesakit-pesakit kronik di sekitar PDM berkenaan.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Senator Datuk Hanafi Mamat dan barisan kepimpinan UMNO bahagian berkenaan. – 8 Januari 2018.