Agak Janggal Dr. Mahathir Pernah Digelar ‘Mahafiraun’ Dinamakan Sebagai PM

Langkah menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan agak ‘janggal’ memandangkan individu yang bakal dilantik itu adalah musuh utama pakatan pembangkang satu ketika dahulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau sendiri tidak memahami bagaimana Pakatan Harapan membuat keputusan itu namun pastinya mereka lebih mengetahui hal tersebut.

“Saya tidak tahu hanya mereka (Pakatan Harapan) yang tahu atau perumpamaan ‘hanya jauhari mengenai manikam’ sebab itu pilihan mereka sendiri.

“Dalam konteks negatif, kalau mereka tahu Dr. Mahathir ini banyak kesalahan yang juga pernah digelar ‘Mahafiraun’ dahulunya, kini mereka sendiri lantik,” katanya.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP semalam mengumumkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak. – 9 Januari 2018.