Dr. Mahathir PM: Ahli UMNO Diingatkan Jangan Terlalu Sentimental

Seluruh ahli UMNO diingatkan supaya tidak terlalu sentimental apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sementara, sekiranya Pakatan Harapan diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, meskipun diakui Dr. Mahathir mempunyai banyak jasa serta sumbangan ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, namun zaman tersebut sudah lama berlalu.

Katanya, pada masa ini, Pengerusi PPBM itu adalah musuh UMNO yang perlu ditentang habis-habisan.

“Sekarang beliau (Dr.Mahathir) bukan lagi ahli UMNO, tetapi musuh UMNO yang mengetuai sebuah parti lain (PPBM). Kita juga tidak boleh hanyut dengan apa yang Dr. Mahathir lakukan dulu sebagai Perdana Menteri.

““Kita akui beliau banyak sumbangan dan dalam masa sama Dr. Mahathir juga ada kelemahannya,” katanya.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP kelmarin mengumumkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak. – 9 Januari 2018.