Wisma Tok Guru: Mahkamah Membenarkan Injunksi Erinford Husam

Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam membenarkan permohonan Injunksi Erinford Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa ke atas pemilik tanah Wisma Tok Guru.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu sebagai menghormati status quo bangunan tersebut yang kini berada di bawah jagaan Husam.

Beliau turut memerintahkan satu permuafakatan yang tinggi diwujudkan antara kedua-dua pihak terhadap keputusan itu.

“Mahkamah mengamalkan konsep mesra demi keharmonian dan meminta supaya pihak terbabit berbincang dalam keadaan rasional serta tidak melakukan kekacauan atau saling provokasi,” katanya.

Husam menamakan pemilik tanah, Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff sebagai defendan.

Perintah Larangan Erinford itu termasuk menghalang defendan, pekerja-pekerjanya, kakitangan dan ejen atau wakilnya daripada melakukan sebarang kacau ganggu, menceroboh, menghalau keluar plaintif dari wisma itu.

Defendan juga dihalang daripada membuat provokasi yang menyentuh berhubung keberadaan plaintif di atas hartanah yang menjadi pertikaian sehingga keseluruhan kuasa tindakan didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

Defendan dan wakilnya juga tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berkait hartanah itu sehingga rayuan permohonan injunksi plaintif didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkan tarikh sebutan semula pada 12 Februari depan sama dengan tarikh pengurusan kes induk Writ Saman yang difailkan Mohd. Yasin terhadap Husam supaya mengosongkan bangunan itu.

Sebelum ini, injunksi plaintif terhadap writ saman itu ditolak mahkamah sama pada 16 November 2017.

Isu perebutan tanah di Pendek, Salor itu mendapat perhatian bermula susulan tanah asal milik bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim atas nama isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd. Yasin dengan harga RM700,000. – 9 Januari 2018.