PAN Diibarat ‘Bagai Melukut Di Tepi Gantang’

PAN di dalam Pakatan Harapan boleh diibaratkan ‘bagai melukut di tepi gantang’ iaitu sebuah parti yang tidak dianggap penting dalam Pakatan Harapan diketuai DAP.

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd. Shukri Ramli berkata, situasi tersebut terbukti apabila PAN hanya menerima 27 kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mohd. Shukri turut mengingatkan PAN supaya sedar diri siapa sebenarnya mereka yang langsung tidak dipandang di dalam Pakatan Harapan.

“Saya lihat isu pembahagian kerusi ini masalah cukup besar bagi PAN. Dahulu mereka (PAN) bersungguh-sungguh bantu DAP sehingga putus hubungan dengan Presiden. Masa hendak bahagi kerusi, PAN ini langsung tidak dipandang.

“PAN kena sedar diri, saya lihat kehadiran PAN ini di dalam Pakatan Harapan ada pun tidak menambah, tidak ada pun tidak kurang. Malah ramai dalam kalangan pemimpin PAN yang tidak berpuas hati dalam isu ini,” katanya.

Pakatan Harapan diketuai DAP mengumumkan bakal bertanding di 165 kerusi Parlimen iaitu 52 kerusi Parlimen ditandingi PPBM, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan PAN (27 kerusi) pada PRU-14.

Situasi tersebut seterusnya telah mencetuskan polemik khususnya di Johor apabila PAN negeri itu menggesa kepemimpinan Pakatan Harapan supaya menyemak semula pengagihan kerusi yang menyaksikan parti serpihan PAS itu hanya ditawarkan dua kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen. – 10 Januari 2018.