Era Najib Lebih Baik – Mohd. Amar

Pentadbiran negara ketika era Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah jauh lebih baik berbanding era Tun Dr. Mahathir Mohamad terutama dalam konteks pembangunan di Kelantan.
Perkara itu diakui Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Mohd. Amar berkata, ketika zaman Dr. Mahathir, hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan boleh dikatakan sebagai tegang manakala situasi jadi sebaliknya selepas Najib mengambil alih.
“Sikap Barisan Nasional (BN) terutama para pemimpin di bawah Dr.Mahathir menyebabkan ketegangan berlaku antara Kelantan dan Pusat. Keadaan ini menyebabkan Pusat mengetepikan segala kemajuan untuk Kelantan.
“Jika kita guna bahasa kasar, kita memang ‘dianak tirikan’ pada waktu tu. Tetapi Alhamdulillah, era Perdana Menteri sekarang ini hubungan antara negeri dengan Pusat bertambah baik dan banyak pembangunan berlaku di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pelancaran Petak Kajian Pokok Eucalyptus Negeri Kelantan di Hutan Simpan Betis, Lojing, hari ini.
Majilis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Zahari Ibrahim dan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin.
Mohd. Amar juga Naib Presiden PAS dalam pada itu berkata, zaman Dr. Mahathir sepatutnya sudah berlalu dan tidak perlu diulang tayang semula sehingga ada pihak mahu melantiknya menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
“Apabila Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, kita anggap sebenarnya dia sudah undur ke belakang kerana zaman Dr. Mahathir dah berlalu,” katanya. – 11 Januari 2018.