Kejar Peragut, Wanita Koma Jatuh Motosikal

Seorang wanita koma akibat terjatuh dari motosikal selepas cuba mengejar dua beradik yang meragutnya di di Kampung Sri Rebana, Machang, semalam.
Mangsa, Maria Erianty Zakaria, 40,  mengalami pendarahan dalaman setelah kepalanya terhantuk pada batu di atas jalan selain patah tulang selangka dan kini sedang dirawat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian
Suami mangsa, Mohd. Zairie Mohamad Zain, 48, berkata, Maria Erianty baru selesai menjalani pembedahan selama kira-kira lima jam hari ini bagi mengeluarkan darah beku di kepala dan setakat ini, keadaan isterinya stabil namun masih koma.
Menceritakan kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Mohd. Zairie berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah bersendirian selepas menghadiri kelas senaman dan tidak menyedari dia diekori dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Apabila dia tiba di lokasi kejadian, suspek bertindak meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul motosikal.
“Isteri saya dikatakan menjerit meminta tolong orang ramai dan dalam masa sama, dia cuba mengejar peragut berkenaan.
“Penjenayah itu menghimpit motosikal isteri saya beberapa kali menyebabkan dia terbabas sebelum tercampak di atas jalan.
“Penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu terus mengejar dua peragut terbabit dan berjaya menahan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab. Ghani berkata, dua suspek berkenaan, masing-masing berusia 26 dan 14 tahun merupakan adik beradik dan mereka berjaya diberkas penduduk kampung sejurus selepas kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan mencuri pada 2013 manakala ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. – 11 Januari 2018.