DAP Tetap ‘Taiko’, Bahaya Pakatan Harapan Menang

PAS melihat perkembangan politik Islam dan orang Melayu di negara ini berada dalam situasi cukup bahaya jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang percaya DAP tetap akan menguasai Pakatan Harapan meskipun daripada soal pengagihan kerusi, parti itu hanya diberikan 35 kerusi Parlimen oleh gabungan tersebut.

Dalam masa sama, Hashim turut memberi contoh situasi di Perak selepas PRU-12, walaupun ketika itu wakil PAS menjadi Menteri Besar namun segala keputusan ditentukan oleh DAP yang dominan pada masa itu.

“Walaupun kita katakan PPBM dapat banyak kerusi (52 kerusi), PKR (51 kerusi) tetapi mereka akan bertanding di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) atau PAS. Kalau mereka tidak tewas dengan PAS mungkin kalah dengan BN.

“Berbanding DAP yang bertanding di kawasan selesa yang secara realitinya sudah menang. Akhirnya yang mengepalai Pakatan Harapan adalah mereka (DAP) yang menang kerusi paling banyak.

“Kalau ditakdirkan Pakatan Harapan tubuh kerajaan, walaupun DAP tidak menjadi Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri yang dipilih itu akan ikut cakap dia.
Situasi ini cukup bahaya bagi politik Islam dan orang Melayu di negara ini,” katanya.

Pengagihan kerusi Pakatan Harapan dalam PRU-14 menyaksikan DAP hanya bertanding 35 kerusi berbanding PPBM (52 kerusi), PKR (51 kerusi) dan PAN (27 kerusi).

Meskipun pengagihan kerusi DAP tidak setinggi PPBM dan PKR, namun peluang DAP terus menjadi parti paling berkuasa dalam Pakatan Harapan tidak dinafikan kerana tidak menyerahkan kawasan selamat atau kubu kuat kepada parti-parti pembangkang lain. – 12 Januari 2018.