Dua Maut Kemalangan

KOTA BHARU 12 Januari 2018 - Seorang lelaki dan seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), di Jalan Kota Bharu - Salor, di sini hari ini.
Seorang lelaki dan seorang wanita maut manakala dua beradik cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Bharu – Salor di sini kira-kira pukul 11.10 pagi hari ini.
Sabki Che Mud, 44, yang memandu kereta jenis Honda Civic serta rakan wanitanya yang belum dikenal pasti identiti maut serta-merta di lokasi akibat kecederaan parah.
Sementara itu, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra, Muhammad Ajwad Mohd. Rahaimi, 21, dan abangnya, Muhammad Muhayyidin Mohd. Rahaimi, 23, cedera ringan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asistem Komisioner Ismail Mat Sidik, Honda Civic dinaiki dua mangsa yang maut datang dari arah Kota Bharu menuju ke Pasir Mas.
“Ketika di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong sebuah kereta di hadapannya dan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV Naza Citra.
“Akibat pertembungan itu, Honda Civic terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya ketika dihubungi.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 12 Januari 2018.