Orang Asli Jadi Renjer Hutan

Jabatan Perhutanan Kelantan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bercadang melatih Orang Asli sebagai renjer hutan sukarela bagi memantau kegiatan pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di kawasan Hulu Kelantan.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim, Orang Asli yang dilantik itu bakal menjadi mata dan telinga pihaknya dan akan melaporkan segera sekiranya berlaku sebarang pencerobohan hutan.
“Selepas isu penerokaan tanah ditimbulkan Orang Asli di Gua Musang yang tercetus sebelum ini, kita mengambil langkah drastik untuk mengawal kawasan penerokaan hutan.
“Kita akan melantik kaum Orang Asli sendiri untuk mengawal hutan dan kumpulan ini akan diletakkan di bawah agensi APM. Jadi semua kawasan hutan simpan kekal ni akan dikawal sendiri oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Pelancaran Petak Kajian Pokok Eucalyptus Negeri Kelantan di Hutan Simpan Betis, Lojing.
Menurut Zahari, ketika ini pihaknya dan APM sedang membuat satu kertas cadangan bagi tujuan itu.
“Kita akan adakan latihan dan kursus kepada mereka supaya faham apa itu sistem pengurusan hutan, sistem pengurusan hasil hutan serta prosedur yang dibenarkan.
“Sekiranya cadangan kita diterima baik, Orang Asli yang terlibat juga bakal mendapat skim insentif atas usaha mereka mengawal kemusnahan hutan,” katanya.
Sementara itu, Zahari berkata, mengikut rekod, hutan simpan di Kelantan ialah seluas 689,000 hektar, hutan pengeluaran 200,000 hektar dan kawasan zon larangan hutan 199,000 hektar. – 12 Januari 2018.