Pilih Dr. Mahathir PM Umpama ‘Bergantung Pada Dahan Reput Menanti Patah’

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, langkah Pakatan Harapan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri diibarat seperti ‘bergantung pada dahan reput yang menanti masa untuk patah’.

Katanya, rakyat terutama golongan atas pagar, sama sekali tidak akan melupakan kesalahan yang dilakukan Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Dalam masa sama katanya, janji Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sementara sebelum digantikan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat tidak meyakinkan selepas melihat rekod-rekod terdahulu bekas Perdana Menteri itu.

“Tindakan Pakatan Harapan ini seperti berpaut pada dahan yang rapuh, ia tidak tahan dan menunggu masa untuk patah.

“Saya yakin rakyat tidak akan mudah lupa banyak perkara tidak menyenangkan berlaku semasa zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 22 tahun. Bagi saya, dosa terbesar Dr. Mahathir apabila dia menyekat bantuan untuk sekolah-sekolah agama,” katanya.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP Ahad lalu mengumumkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak. – 12 Januari 2018.