Diktator Dan Maha Firaun Juga Mahu Diangkat Jadi PM

Tiada apa yang boleh diulas mengenai keputusan Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini. Tidak ubah seperti kartun.

Yang dulu disebut diktator dan maha firaun hari ini mahu diangkat semula menjadi Perdana Menteri.

Yang bakal Timbalan Perdana Menteri pula gembira walaupun suaminya pernah dipecat dan dipenjarakan oleh bakal Perdana Menteri.

Parti yang baru sehari dua ditubuh diberi lebih banyak kerusi. Yang tubuh berpuluh tahun dapat kerusi paling sikit.

Pening, macam-macam orang boleh baca dalam politik macam ini. Orang muda yang dulu sokong pembangkang sekarang sudah geleng kepala.

Apa rupa kerajaan kalau puak-puak ini dipilih nanti? Rupa macam Tun Dr. Mahathir, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim atau macam Abang Mat Sabu.

Tidak dapat dicapai akal. Orang muda yang bijak pandai berlambak-lambak di Malaysia tetapi orang yang paling tua juga dipilih. Oh ya, mungkin Pakatan Harapan mahu mencipta rekod dunia menjadikan Malaysia memiliki pemimpin yang paling tua di dunia.

Tidak perlu sampai ke Oxford untuk membaca strategi melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan PPBM diberikan banyak kerusi. Hanya satu sebab nak menang hati orang Melayu. Apa mereka ingat orang Melayu bodoh.

Parti Bunga Raya hanya ada satu kerusi Parlimen. Tidak ada jentera, mana nak dapat lawan Barisan Nasional atau PAS yang sudah struktur sendiri sehingga ke akar umbi sejak negara sebelum merdeka lagi. Bunga Raya akan jadi lauk sahaja.

Dan DAP yang akan menang besar. Mereka sudah ada 27 kerusi di Parlimen, kali ini bertanding 35 kerusi (tidak termasuk Sabah dan Sarawak). Dengan adanya Bunga Raya dan PAN mereka akan dapat menarik pengundi Melayu. Jadi tidak pelik, semua 35 kerusi mereka sapu. Bunga Raya habuk pun tak dapat.

Paling kesian, PAN. Paling ramai dapat tarik pemimpin PAS, akhirnya dapat 25 kerusi saja. Katanya, 200,000 ahli PAS masuk PAN tetapi macam itu saja layanan Pakatan Harapan terhadap PAN. Malah Abang Mat kita tak tau ke mana.

Apa pun, pencalonan Mahathir tidak menghairankan, malah ia sekadar mengulang sejarah lama pembangkang yang seringkali mencari bekas-bekas UMNO untuk dijadikan Perdana Menteri. Dari zaman S46 lagi (Kuli), kemudian zaman reformasi (Anwar) dan sekarang Mahathir pulak.

Bertahun-tahun ditubuhkan, pembangkang tidak ada orang yang boleh dilantik menjadi Perdana Menteri, mesti nak bekas UMNO juga. Itu yang hairan kutuk UMNO hari-hari tapi bila menjadi bekas, terus menjadi calon Perdana Menteri.

Fikirkanlah!