‘Hanya 27 Kerusi’ Sinis PAS Kepada PAN

PAS secara sinis mengakui terkejut apabila PAN hanya diberikan 27 kerusi Parlimen oleh Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, beliau terkejut bukan disebabkan PAN dapat sikit tetapi terlebih banyak berbanding dengan kemampuan mereka.

“Sebenarnya saya terkejut, terkejut itu bukan dia dapat sikit tetapi terlebih banyak dengan kemampuan yang ada.

“Itu kita belum tahu lagi di mana dia akan bertanding. Daripada perhatian saya, dia menempah mautlah, kerana dia tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

“Dia hanya bergantung dengan sokongan parti-parti lain. Tetapi kita yakin dan kita kenal pemimpin-pemimpinnya yang tidak akan mampu untuk menandingi kekuatan yang terdapat pada PAS apatah lagi dengan Barisan Nasional (BN) itu sendiri,” katanya.

Minggu lalu, Pakatan Harapan diketuai DAP mengumumkan bakal bertanding di 165 kerusi Parlimen iaitu 52 kerusi Parlimen ditandingi PPBM, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan PAN (27 kerusi) pada PRU-14.

Situasi tersebut seterusnya telah mencetuskan polemik khususnya di Johor apabila PAN negeri itu menggesa kepemimpinan Pakatan Harapan supaya menyemak semula pengagihan kerusi yang menyaksikan parti serpihan Pas itu hanya ditawarkan dua kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen. – 13 Januari 2018.