Khamarzan Ziarah Mangsa Ragut Masih Koma

“Mama. Cepatlah sedar.”
Demikian rintihan anak-anak Maria Erianty, mangsa ragut yang masih koma dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia HUSM), Kubang Kerian selepas terjatuh dari motosikal di Kampung Sri Rabana, Machang Kelantan Rabu lalu.
Enam hari sudah berlalu namun keadaan Maria Erianty Zakaria, 40, masih tidak menunjukkan sebarang perubahan menyebabkan keluarga terus dirundung kesedihan.
Suaminya, Mohd. Zairie Mohamad Zain, 48, pula hanya mampu menangis dalam hati setiap kali anak-anak bertanyakan keadaan ibu mereka.
Pasangan itu mempunyai empat cahaya mata berusia 10 hingga 20 tahun, dengan dua daripadanya masih bersekolah.
“Setakat ini, keadaan kesihatan isteri saya stabil, namun masih tiada perkembangan positif. Doktor sendiri tidak dapat menjangkakan bila dia akan sedar.
“Anak-anak sering bertanya keadaan ibu mereka, terutama anak bongsu yang berusia 10 tahun. Dia rindu mahu mendengar suara mamanya. Setiap hari dia minta mamanya supaya cepat sedar,” kata Mohd. Zairie.
Mohd. Zairie yang bekerja di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang memberitahu, memandangkan dia kini perlu menunggu isterinya di wad, dua anaknya yang masih bersekolah dijaga saudara-mara mereka buat sementara waktu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang Rabu lalu, Maria Erianty yang menunggang motosikal bersendirian diragut dua beradik di Kampung Sri Rabana, Machang.
Dia nekad mengejar penjenayah tersebut namun mereka menghimpit motosikalnya menyebabkan dia terjatuh dan cedera parah di kepala. Mangsa terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala dan koma sehingga sekarang.
Kisah Maria Erianty turut mendapat perhatian Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Penawar) Kelantan yang meluangkan masa menziarahi mangsa di HUSM.
Diketuai Yang Dipertuanya, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, rombangan Penawar Kelantan turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Khamarzan juga isteri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diiringi isteri kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datin Wan Norizan Wan Ismail. – 15 Januari 2018.