Dr. Mahathir Ibarat ‘Pemain Bola’ Tua

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaikan sudah tidak sabar mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Perkara itu terbukti apabila beliau mendesak PAS membuat pilihan sama ada menyokong beliau atau Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon Perdana Menteri.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, PAS tidak akan melayan cabaran Dr. Mahathir tersebut.
Tegas beliau, mereka berdua bukan calon Perdana Menteri pilihan PAS kerana parti itu mempunyai calonnya tersendiri yang akan diputuskan apabila tiba masa yang sesuai.
Beliau secara sinis turut memberitahu, Dr. Mahathir sebenarnya sudah tidak diperlukan dalam arena politik tanah air kerana zaman kegemilangannya sudah berlalu.
“Walaupun dia ada jasa dan peminat sendiri, tetapi bagi saya, zaman dia sudah berlalu. Kita ambil contoh ibarat pemain bola hebat, apabila zaman dia berlalu, orang sudah tidak pilih dia bermain untuk pasukan lagi.
“Dalam konteks Dr. Mahathir ini pun sama. Bila sampai satu tahap, orang sudah tidak pilih kerana zaman dia sudah berlalu,” katanya. – 17 Januari 2018.