Mahfuz Keliru, Kadir Mengarut – Mohd. Amar

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar menyelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa sasaran PAS untuk memenangi 40 kerusi dalam PRU-14 sebagai petanda awal kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN).
Menurut Mohd. Amar, Mahfuz mungkin keliru dan menyangka PAS hanya mahu memenangi 40 kerusi sedangkan angka itu adalah sasaran minimum semata-mata dan PAS berharap dapat memenangi lebih daripada jumlah itu.
“Saya ingin jelaskan, 40 kerusi ialah sasaran minimum, kita bertanding 130 kerusi, kita target seberapa banyak yang boleh sehingga membolehkan kita menubuhkan kerajaan.
“Tetapi paling minimun jangan kurang 40 kerusi sebab dengan 40 kerusi inilah kita ada bargaining power yang kuat selepas pilihan raya kerana pemerhati berpendapat, selepas PRU-14, tidak ada lagi parti politik yang dominan.
“Sebab itu saya kata Mahfuz ini sentiasa keliru, keliru dengan pendirian parti, keliru dengan Presiden. Sebab itu dia keluar parti,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim.
Mengenai tulisan Datuk A. Kadir Jasin dalam blog kononnya PAS diberi laluan mudah untuk menang di Kelantan sebagai sebahagian daripada bentuk kerjasama UMNO-PAS, Mohd. Amar menyifatkan laporan tersebut sebagai mengarut.
“Ini mengarut. Tajuk pun khabar angin, bagaimana orang macam Kadir boleh bercakap tentang khabar angin. Kalau nak bercakap tentang khabar angin, kita pun ada dengar macam-macam khabar angin.
“Kita dengar ada pakatan sulit antara PPBM dengan UMNO. Selepas PRU-14, PPBM akan bergabung semula dengan UMNO dan kekal berkuasa. Kita juga dengar Dr. Mahathir berpakat dengan Najib, adakah itu benar?” katanya. – 17 Januari 2018.