Tindakan Shafie Tidak Wajar

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man menyifatkan tindakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang memperlekehkan peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai tidak wajar dan keterlaluan.

Beliau berkata, sebagai seorang individu yang pernah berada di dalam barisan Kabinet, Mohd. Shafie sepatutnya sedar tugas Rela bukan sekadar hanya
menjaga trafik ketika kenduri sebaliknya pasukan beruniform itu juga sebahagian daripada komponen pasukan keselamatan negara.

Katanya, selain itu, anggota Rela ini juga dilihat mempunyai pengalaman dan terlatih sekiranya diberi tugas membantu mengawal keselamatan negara.

“Kita tidak boleh memperkecilkan peranan Rela dan saya yakin KDN (Kementerian Dalam Negeri) telah memikirkan apa sebenarnya tugas yang boleh dimainkan Rela sekiranya ditempatkan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Tugas mereka di sana (Esszone) nanti bukan hanya tertumpu kepada menggunakan senjata api semata-mata kerana aspek keselamatan ini adalah meluas. Kita ada pengkhususan masing-masing di mana tentera ada peranannya, polis ada peranannya begitu juga Rela,” katanya ketika ditemui.

Beliau mengulas tindakan Mohd. Shafie yang mempersoalkan kewibawaan anggota Rela yang ditugaskan membantu tugas pemantauan keselamatan di Esszone selain
memperlekehkan peranan jabatan tersebut apabila menyifatkan pasukan beruniform itu hanya pandai menjaga trafik ketika kenduri.

Pada Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. AHmad Zahid Hamidi memaklumkan, seramai 500 anggota Rela ditugaskan membantu pemantauan keselamatan di Esszone bermula bulan ini.

Ahmad Zahid berkata, langkah mengatur penugasan anggota Rela itu penting bagi menentukan soal keselamatan bukan sahaja di Esszone tetapi di seluruh Sabah dalam keadaan terkawal. – 17 Januari 2018.