Anak Saudara Cabar Hadi Di Marang?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal dicabar anak saudaranya sendiri, Miqdad Zakaria di kerusi Parlimen Marang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bercakap kepada sebuah portal berita online, Miqdad yang juga Ketua PAN Rawang berkata “Kalau bertembung tu bertembunglah. Nak buat macam mana. Pakatan Harapan (PH), PAS dan Barisan Nasional (BN) tiga blok yang berasingan”.

Sebelum itu Miqdad anak saudara kepada isteri pertama Abdul Hadi dilapor akan dicalonkan di kerusi Parlimen Marang atas tiket PAN.

Malah, melalui posting di Facebooknya, Miqdad menyuarakan keyakinan PH akan menumbangkan Abdul Hadi di Marang pada PRU14.

Sementara itu, Pengerusi PAN Terengganu Raja Bahrin Shah memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti calonnya di Marang tetapi hanya akan diumumkan selepas Parlimen dibubarkan.

Selain Marang, PAN akan bertanding di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dalam pembahagian kerusi Parlimen PH sebelum ini. – 25 Januari 2018.