Kakitangan AirAsia Meninggal Dunia Dalam Penerbangan

Seorang kakitangan syarikat penerbangan AirAsia Berhad meninggal dunia dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandung, Indonesia  semalam.

AirAsia dalam kenyataan media mengesahkan bahawa penerbangan AK416 dari Kuala Lumpur ke Bandung, Indonesia itu dialihkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) kerana kecemasan perubatan.

Menurutnya, kakitangan AirAsia itu mendapat rawatan perubatan segera selepas mendarat, tetapi disahkan meninggal dunia oleh doktor di lapangan.

“Keluarga AirAsia sedih dengan kehilangan kakitangan kami ini dan kami mengucapkan takziah buat keluarganya.

“Kami akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa ketika tempoh ini,” katanya.

Kenyataan AirAsia berkata, pesawat itu kemudian berlepas dari LTAS pada 9 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara, Indonesia pada 10.11 pagi. – 25 Januari 2018.