Serang Peribadi Bukan Tatacara Politik – Ku Li

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah optimis Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kemenangannya sekali gus kekal menerajui kerajaan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, sokongan rakyat terhadap BN tidak berubah walaupun pelbagai isu dibangkitkan pembangkang.

Katanya, BN akan bertanding di semua kerusi dan tidak rasa tergugat biarpun berdepan dengan banyak parti yang bertanding.

“Setahu sayalah, kita bertanding di semua kawasan seperti biasa. Jadi kalau ramai pihak masuk bertanding lagi meriahlah PRU-14 nanti.

“Ramai pihak yang bertanding menyebabkan kemungkinan pecah undi parti yang tidak dapat mengekal pengaruh mereka,” katanya.

Menjawab kemungkinan BN mampu meraih majoriti besar dalam pilihan raya kali ini beliau berkata, ia terpulang kepada sokongan rakyat.

Tambahnya, pun demikian, rekod majoriti pilihan raya umum lalu menunjukkan BN dapat mengekalkan pengaruhnya di semua kerusi yang bertanding.

Dalam pada itu, beliau menempelak pemimpin parti politik yang cuba mengambil pendekatan menyerang peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Kita berjuang atas dasar untuk membela rakyat tetapi mengapa ditimbulkan masalah peribadi. Itu di luar tatacara politik biasa,” katanya. – 26 Januari 2018.