Tidak Bertentangan Dengan Hukum Islam Jatuhkan Kerajaan PAS Kelantan

Usaha untuk menumbangkan kerajaan PAS Kelantan tidak bertentangan dengan hukum Islam, kata Datuk Husam Musa.

Malah, Penasihat PAN Kelantan itu menegaskan bahawa, adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk memastikan sesebuah kerajaan tidak melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Ada yang kata jatuhkan kerajaan PAS tak syarie, saya cabar adakan forum.

“Islam tidak membenarkan rakyat membiarkan sebuah kerajaan yang rasuah dan meminta ‘nafkah politik’ terus berkuasa,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran bilik operasi pilihan raya Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir di Pasir Mas malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mengulangi pendedahannya mengenai isu melibatkan projek lebuh raya rakyat di mana sebuah syarikat terbabit terpaksa membayar ganti rugi akibat penyelewengan.

“Dalam kes lebuh raya rakyat saya telah mendedahkan bagaimana Baldah Toyyibah telah terpaksa membayar ganti rugi ratusan ribu akibat penyelewangan.

“Jambatan kedua Sdn. Bhd (JKSB) pula telah dipaksa membuat bayaran luar kontrak kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Bila saya buat pendedahan dengan dokumen, apa yang dilakukan pihak Exco adalah memanggil kakitangan untuk siasat siapa yang bocorkan (maklumat),” katanya.

Tambah Husam, situasi ini menunjukkan salah laku itu memang berlaku.

“Kalau tak ada apa-apa tak kan nak cari siapa yang bocorkan. Tentu ada kesalahan bila takut bocor,” katanya. – 26 Januari 2018.