BN Konsisten, Sedia Penuhi Aspirasi Rakyat Kelantan

Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO tetap konsisten dengan tanggungjawabnya dalam memacu perubahan landskap ekonomi dan pembangunan Kelantan secara lebih efisyen sekiranya ia diberi mandat menerajui negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Kelantan, bagaimanapun ia akan menjadi lebih mudah sekiranya BN berjaya mentadbir negeri itu.

“UMNO bersedia merealisasikan keperluan rakyat dengan semangat dan falsafah Islam sebagaimana perkhidmatan yang disalurkan tanpa retorik bagi  memastikan kemakmuran dan kebajikan rakyat terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Program Pembagunan Ekonomi Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) di Kompleks UMNO Uthmaniyah Pulau Lima, di Pasir Puteh Kelantan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi fokus utama kepada masalah penghijrahan rakyat negeri itu menerusi pelaksanaan pembangunan ekonomi berimpak sederhana dan tinggi.

“Hasil pelaksanaan pelbagai projek yang dicetuskan di peringkat pucuk pimpinan parti telah menjayakan agenda membasmi kemiskinan rakyat hampir tercapai. Kemiskinan tegar dapat dikurangkan ke peringkat maksima hasil gerakan dan bimbingan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan.

“Tahap kemiskinan tegar di negeri ini hampir tiada kecuali kemiskinan relatif. Tidak mungkin kita mampu menyelesaikan isu kemiskinan secara menyeluruh kerana rezeki Allah juga mengikut tahap pemberianNya. Sebab itu, Islam menyediakan ruang dan peluang untuk membantu dan dibantu menerusi pelaksanaan zakat dan sedekah,” katanya.

Menurutnya, implikasi penghijrahan rakyat Kelantan menyebabkan hubungan akrab kekeluargaan menjadi renggang.

“Semua ini berlaku kerana tidak ada peluang pekerjaan di negeri sendiri. BN akan berusaha merubah keadaan ini kiranya diberi kepercayaan oleh rakyat pada PRU 14 nanti,” katanya. – 27 Januari 2018.