Dr. Mahathir “Angan-Angan Mat Jenin”, PAS Tawan Kelantan

PAS menyindir Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyifatkan ‘angan-angan Mat Jenin’ membuatkan parti itu semakin kuat sehingga berjaya menawan Kelantan di zaman pemerintahan beliau pada 1990.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, disebabkan angan-angan Mat Jenin itu jugalah PAS masih menguasai Kelantan sehingga Dr. Mahathir dan penggantinya selepas itu masih tidak berupaya merampas negeri tersebut.

Katanya, meskipun dihina dan diperlekeh oleh bekas Perdana Menteri itu, namun PAS membuktikan parti tersebut semakin kuat dan dihormati seluruh masyarakat.

“Dr. Mahathir mengulangi benda yang sama labelkan PAS sebagai angan-angan Mat Jenin dan PAS membuktikan dengan menang di Kelantan. Kita daripada kosong, diperlekehkan oleh Dr. Mahathir akhirnya Allah bantu berikan kita kemenangan,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Mohamad Abduh berkata, Pakatan Harapan disifatkan cukup malang kerana mengambil Dr. Mahathir bersama dalam gabungan itu.

“Langkah Pakatan Harapan itu dilihat sebagai langkah terkebelakang. Bagaimana hendak bina Malaysia baharu jika ambil Dr. Mahathir bersama,” katanya. – 27 Januari 2018.