PAS Ingatkan Dr. Mahathir Supaya Cermin Diri Dulu

Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan supaya bermuhasabah dan cermin diri terlebih dahulu sebelum sewenang-wenangnya memperlekehkan idea PAS mahu bertan­ding di 130 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum nanti.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya sedar dan melihat sejauh mana kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum menghina PAS yang sudah lebih 60 tahun berada dalam arena politik negara.

Katanya, sikap PAS yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan menegakkan dasar Islam menyebabkan parti itu terus kekal sehingga hari ini dan tidak perlu pihak lain mengajar mereka cara berpolitik.

“Dr. Mahathir itu sendiri perlu bermuhasabah dengan apa yang telah dilakukan selama ini ketika berada dalam UMNO dan semasa menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir bahawa hasrat PAS untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai angan-angan Mat Jenin.

Dalam masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu juga turut mempersendakan hasrat PAS yang dipimpin Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan sendiri selepas pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut Mohd. Shukri berkata, PAS sentiasa bermuhasabah dan sedar diri pada setiap masa menyebabkan parti itu terus bertahan dengan dasar Islam yang dibawa selama ini. – 27 Januari 2018.