Alasan MAH Kurang Cerdik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menempelak tindakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mendakwa wujudnya prosedur operasi standard (SOP) pekerja wanita di barisan hadapan dalam sektor perhotelan yang melarang mereka memakai tudung.

Sambil menyifatkan alasan tersebut sebagai kurang cerdik, Shahidan menegaskan, tindakan MAH itu dilihat tidak menghormati agama Islam negara ini.

“Mana boleh mereka (MAH) kata itu SOP bagi sesebuah hotel yang bertaraf lima bintang, mereka kena ingat keuntungan sesebuah hotel bukanlah kerana kakitangan bertudung atau tidak.

“Jika begitu kenapa guru-guru beragama Islam yang mengajar pelajar bukan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan boleh bertudung dan pihak sekolah tidak pernah kenakan sebarang SOP ke atas mereka,” katanya.

Terdahulu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan sekerja berpe­ngaruh di negara ini memberi kata dua kepada Kementerian Sumber Manusia supaya menyelesaikan segera isu larangan pekerja Islam bertudung di sektor perhotelan tanpa perlu menunggu sehingga Akta Kerja 1955 dipinda.

Dalam masa sama, mereka juga mencabar MAH supaya membuktikan wujudnya SOP pekerja wanita di barisan hadapan dalam sektor perhotelan yang melarang mereka memakai tudung seperti didakwa.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kerajaan sememangnya sentiasa menyokong supaya tidak ada sebarangan larangan pekerja Islam bertudung di sektor perhotelan termasuk membawa isu berkenaan ke Kabinet sebelum ini.

“Saya rasa bukan kami sahaja yang membantah larangan ini, tetapi majoriti masyarakat Islam negara ini pasti mempertikaikannya kerana ini isu agama.

“Kami sentiasa bersama dalam hal ini bagi membantah tindakan MAH yang memberikan alasan larangan bertudung adalah SOP bagi hotel bertaraf lima bintang,” katanya. – 28 Januari 2018.