Kaji Undang-Undang Berita Palsu, Tidak Kecilkan Perkhidmatan Awam

Kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan selain mengelirukan orang ramai.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan, perbuatan demikian (menyebar berita palsu) sebagai tidak bermoral yang boleh mengancam kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, kajian tersebut bukan untuk mengawal internet tetapi bagi mewujudkan sikap bertanggungjawab dan menyebarkan perkara yang benar bagi memastikan orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu.

“Bukan kita mahu kawal internet. Internet masih bebas tetapi mesti ada unsur tanggungjawab.

“Malah, Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa setiap kali pilihan raya dengan pelbagai penyebaran berita palsu.

“Sebelum ini, kita difitnah dengan berita membawa masuk 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perdana Menteri Bersama Kakitangan Awam di Wisma Persekutuan, di Kota Bharu Kelantan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Perdana Menteri Britain, Theresa May yang mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis tersebut Najib berkata, Malaysia mendapat penghormatan di negara luar kerana mempunyai prinsip tersendiri dan tidak pernah berpura-pura dalam menjalankan tugas.

“Ada perkara kita sokong dan sekiranya sesuatu perkara bercanggah, Malaysia akan menentang seperti yang dilakukan apabila Amerika Syarikat (AS) mahu membuka pejabat kedutaan di Jerusalem.

“Ketika saya melakukan umrah bulan lalu, saya mendapat layanan istimewa daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, apabila saya diberi masuk ke makam Rasulullah dan baginda membuka pintu Kaabah untuk saya dan rombongan.

“Sekiranya Malaysia tidak dipandang tinggi, masakan saya diberi layanan istimewa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, kerajaan berjanji tidak akan mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini kerana penjawat awam merupakan tulang belakang dalam melaksanakan segala dasar kerajaan.

“Saya anggap penjawat awam sebagai benteng dan tulang belakang kerajaan. Justeru, kerajaan berjanji tidak akan mengecilkan atau mengurangkan saiz perkhidmatan awam.

“Ini kerana ada pihak (pembangkang) yang sudah menguar-uarkan ingin mengecilkan saiz perkhidmatan awam sekiranya memerintah negara ini kerana kononnya dapat menjimatkan perbelanjaan negara,” katanya.

Majlis tersebut disambut meriah dengan kehadiran lebih 10,000 penjawat awam. – 28 Januari 2018.