PAN ‘Menikus’ Dalam Pakatan Harapan

PAN dilihat ‘menikus’ di dalam Pakatan Harapan diketuai DAP apabila tidak mampu bersuara mempertahankan hak selepas diberikan kerusi paling sikit oleh gabungan itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam masa sama, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga percaya Pakatan Harapan sama sekali tidak akan menghirau atau melayan permintaan PAN meskipun parti serpihan PAS itu meninggalkan pakatan tersebut.

“Apa yang kita sebut sebelum ini benar-benar berlaku iaitu PAN tidak akan dapat apa-apa bila keluar daripada PAS. PAN merasakan mereka gagah di dalam Pakatan Harapan tetapi kamu (PAN) sebenarnya tidak dapat apa-apa.

“Dan situasi itu terbukti, belum masuk lagi pilihan raya mereka paling ke bawah (dalam Pakatan Harapan) dan tidak mampu bersuara mempertahan hak. PAN dipandang sepi oleh rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Parti serpihan PAS itu hanya diberikan 27 kerusi Parlimen oleh Pakatan Harapan diketuai DAP untuk bertanding dalam PRU-14 sekali gus menimbulkan polemik dalam kalangan pemimpin parti itu khususnya di peringkat negeri yang meminta gabungan berkenaan mengkaji semula pengagihan kerusi tersebut.

Malah PAN juga difahamkan diberikan kerusi gred C dan D termasuk hanya dua kerusi Parlimen di Johor selain langsung tidak diberikan kepercayaan bertanding di Wilayah Persekutuan. – 28 Januari 2018.