PM Lancar PLSB Sungai Kelantan Fasa 1

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 bagi membendung masalah banjir di negeri itu.

Projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk di lembangan sungai tersebut apabila siap nanti.

“Ini adalah sifat inklusif kerajaan BN (Barisan Nasional) untuk membela rakyat tanpa mengira perbezaan politik. Projek ini diharap dapat melenyapkan mimpi ngeri (bah kuning) 2014, 100,000 penduduk akan dapat faedah. Ini bukan soal politik tetapi soal membela rakyat. Bila orang susah kita wajib tolong.

“Sebagai contoh hari ini, jambatan enam lorong kalau dulu Menteri Besar hendak ke pejabat mengambil masa 30 minit sekarang 10 minit sahaja, Menteri Besar pun dapat faedah,” katanya semasa berucap melancarkan Majlis Pecah Tanah PLSB di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

PLSB Sungai Kelantan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM9.6 bilion dan dilaksanakan dalam tiga fasa melibatkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11); RMK-12 dan RMK-13.

Projek fasa pertama di bawah RMK-11 itu mengandungi empat komponen utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB); Pengindahan Sungai; Salinan Mesra Alam dan Keseimbangan Air (Sistem Pengurusan Keseimbangan Air Kebangsaan – NAWABS).

Pembangunan lembangan sungai bersepadu sungai kelantan dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan secara berfrasa dengan anggaran kos keseluruhan projek sebanyak RM9.6 bilion.

Menurut Wan Junaidi, kos projek sebanyak RM572 juta telah diperuntukan bagi fasa satu yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2021 manakala sebanyak RM2.16 bilion bagi fasa dua akan dilaksanakan dalam RMK-12 dan sebanyak RM6.87 bilion bagi fasa tiga akan dilaksanakan dalam RMK-13.

Beliau menjangkakan, 95,000 penduduk di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah dan Machang tidak perlu dipindahkan akibat banjir sekiranya PLSB Sungai Kelantan fasa satu berjalan dengan baik.

“Negeri Kelantan adalah merupakan negeri yang sentiasa terdedah dengan banjir terutama pada monsun timur laut tetapi projek ini bukan hanya sekadar tebatan banjir malah merangkumi semua aspek ‘river of live’,” katanya. –

Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira pukul 9 pagi ini untuk melakukan lawatan kerja sehari ke Kelantan hari ini.

Ketibaan beliau disambut Mustapa yang juga Pengerusi Baan Perhubungan UMNO Negeri dan barisan kepimpinan BN Kelantan.

Selain melancarkan projek tersebut, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri Majlis Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di perkarangan Wisma Persekutuan, Jalan Bayam.

Pada sebelah petang, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum menghadiri Majlis Sepetang Perdana Menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan. – 28 Januari 2018.