Projek Rumah Generasi Kedua Felda Akan Diteruskan

Selepas tertangguh selama lebih setahun, projek pembinaan 300 unit rumah generasi kedua Felda di Rancangan Tanah Felda Chiku 6 di Kelantan akan diteruskan semula tidak lama lagi.

Difahamkan, projek tersebut tertangguh disebabkan masalah status tanah.

Bagaimanapun, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah memaklumkan, pihak pengurusan Felda kini sedang menyelesaikan masalah tersebut dengan kerajaan negeri bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

“Felda akan membuka semula tender untuk melantik kontraktor baharu sebaik urusan status tanah selesai, ini kerana kontraktor yang dilantik sebelum ini sudah menarik diri berikutan penangguhan projek yang terlalu lama,” katanya selepas meninjau tapak projek tersebut semalam.

Beliau berkata, generasi kedua Felda yang terlibat perlu faham kesulitan yang dialami kerana bidang kuasa tanah adalah di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS.

Norzula turut memaklumkan, kerajaan Persekutuan juga akan membina rumah untuk generasi kedua Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membina 40 unit rumah fasa pertama melibatkan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 di Gua Musang,” katanya. – 28 Januari 2018.