PRU14 Lambat Lagi

Ketika debaran tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi tanya orang ramai, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa membayangkan tarikh keramat itu lambat lagi.

“Lambat lagi, Perdana Menteri belum ada ilham lagi, lagipun kita masih ada masa yang panjang lagi sebelum 24 Ogos hadapan.

“Tempoh lapan bulan ini adalah tempoh yang lama, kita bincang calon hanya bila sudah ada tarikh pilihan raya,” katanya selepas pertemuan tertutup Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pemimpin UMNO Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, tarikh dan calon bagi PRU14 bukan menjadi agenda pada program (pertemuan) tersebut.

Ramalan PRU14 hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu dengan yang terakhirnya sekitar tiga bulan pertama tahun ini iaitu antara Januari, Februari dan Mac.

Mandat PRU13 hanya akan berakhir pada 24 Jun 2018 iaitu berdasarkan hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU-13.

Sementara itu, Ketua Pemuda negeri, Mohd. Azam Ismail berkata, Perdana Menteri tidak memberikan sebarang petunjuk PRU14 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, Najib yang juga Presiden UMNO mengingatkan pemimpin parti semua peringkat supaya sentiasa memperkemaskan jentera pilihan raya dan gerak kerja Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Semua kena turun padang melaksanakan program sentuhan bersama pengundi selain membuat analisa dan culaan daripada senarai daftar pemilih terbaharu,” katanya. – 28 Januari 2018.