Cadang Mukhriz Pindah Ke Negara Lain

Tindakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memburukkan nama negara ketika berada di luar negara termasuk malu mengaku sebagai rakyat Malaysia disifatkan cukup keterlaluan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mencadangkan agar bekas Menteri Besar Kedah itu berpindah ke mana-mana negara yang beliau selesa daripada terus memburuk-buruk negara sendiri.

Beliau berkata, tidak salah untuk Mukhriz berpolitik namun jangan sampai berlebihan sehingga hilang semangat cintakan negara sendiri.

“Kalau malu tinggal di Malaysia, dia (Mukhriz) boleh berpindah ke negara lain yang dia mahu. Kalau dilihat rakyat negara mana sekalipun mereka cukup bangga dengan negara sendiri.

“Saya berbangga jadi rakyat Malaysia walaupun dalam hidup ini ada jatuh, ada bangun. Sepatutnya kita membina negara, bukannya menghancurkan negara dengan sikap seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mukhriz yang berasa malu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara.

Anak Tun Dr. Mahathir Mohamad itu dilaporkan berkata, beliau sedih apabila Malaysia hanya dikenali akibat salah laku pemimpin negara dan bukannya kerana kemajuannya. – 29 Januari 2018.