Kempen #UndiRosak Bertentangan Ajaran Islam

PAS meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan kempen #UndiRosak yang digerakkan oleh pihak tertentu untuk menghasut rakyat memboikot Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerana bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama dan oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab umatnya mengundi untuk memilih pemimpin.

Beliau yang menentang sekeras-kerasnya kempen seumpama itu turut menyifatkan kempen tersebut sebagai tidak bertanggungjawab terhadap negara dan agama.

“Tanggungjawab mengundi untuk memilih pemimpin adalah tuntutan agama dan merupakan amanah yang mesti ditunaikan oleh setiap umat Islam,” katanya.

Beliau mengulas tindakan pihak tertentu yang berkempen untuk pengundi melakukan undi rosak pada pilihan raya akan datang.

Kempen ‘#Undi Rosak’, ‘SpoiltVote’ dan ‘ProtesPRU’ yang tular menerusi laman sosial mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada PRU akan datang dengan penggeraknya dilaporkan memberi alasan tiada beza sama ada BN atau Pakatan Harapan.

Tanda pagar itu timbul pada 7 Januari lalu selepas pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Fokus utama ialah mengajak golongan muda merosakkan undi pada PRU akan datang.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kempen #undirosak oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya akan merosakkan demokrasi.

Katanya, pembangkang menjadikan kempen itu sebagai satu cara bagi membolehkan mereka memenangi PRU akan datang.

“Saya sebut perkara ini kerana ada pihak yang mahu memecah dan merosakkan kita (Barisan Nasional) terutama pada PRU akan datang dan mereka buat (kempen) #undirosak.

“Mereka jadikan #undirosak ini sebagai satu trending untuk rosakkan PRU.

“Kita harus melihat bahawa hari pengundian sama ada (rakyat) undi kerajaan sedia ada atau tidak adalah hak masing-masing, tetapi demokrasi mesti dilaksanakan,” katanya. – 29 Januari 2018.