Masih Gagal Capai Kata Sepakat

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui Pakatan Harapan di negeri itu masih belum mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengakuan Azmin itu sekaligus menunjukkan wujudnya kemelut dalaman dalam gugusan parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Difahamkan, sehingga kini isu pembahagian kerusi tersebut gagal diselesaikan.

Pun demikian, walaupun berada dalam situasi tersebut, beliau berkata Pakatan Pembangkang bersedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan dalam masa terdekat.

“Secara prinsipnya kita telah mempunyai senarai akhir nama calon-calon yang akan bertanding walaupun ia masih belum dapat dimuktamadkan.

“Namun, sekiranya pilihan raya dijangka April, kita bersedia dengan calon dan kerusi yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, pengagihan kerusi DUN bagi Pakatan Harapan itu perlu ditetapkan pada tarikh akhir ditetapkan iaitu 31 Januari ini, namun sehingga kini tidak dapat diputuskan lagi.

Sebelum ini Pakatan Pembangkang di Selangor masih belum memulakan secara rasmi rundingan untuk agihan kerusi negeri walau tempoh yang ditetapkan berakhir pada 31 Januari.

Bahkan, Jawatankuasa Khas Rundingan Agihan Kerusi DUN Selangor yang sepatutnya dianggotai oleh wakil dari empat parti komponen juga masih belum dibentuk.

Antara punca yang dikenal pasti ialah tindakan PKR yang masih cuba menarik PAS bersama dengan keyakinan bahawa Pakatan Harapan akan kalah, hatta di Selangor tanpa penyertaan parti Islam itu. – 29 Januari 2018.