PAS Kelantan Kian Lemah Selepas Ketiadaan Tok Guru

PAS Kelantan kini berada di era paling lemah selain telah hilang taringnya selepas ketiadaan bekas  Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, zaman pemerintahan PAS kian pincang dengan perpecahan ahli sehingga wujudnya parti-parti serpihan.

Justeru katanya, ini adalah masa paling sesuai bagi UMNO untuk merampas kembali Kelantan daripada parti yang telah memerintah hampir 30 tahun itu.

“PAS dulu dan sekarang sudah lain. Kini kita menyaksikan ramai ahli parti (PAS) kecewa dengan pimpinan sedia ada sehingga berlakunya perpecahan.

“Golongan intelek mula keluar dengan menubuhkan parti baharu sebagai pembangkang sekaligus memberi pukulan hebat kepada PAS.

“Untuk menggantikan tenaga-tenaga yang hilang itu bukan mudah. Sebab itu, UMNO perlu merebut peluang dengan kerja bersungguh-sungguh. Kalau tidak, kita juga akan kehilangan penyokong,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kerjasama antara Barisan Nasional dengan parti Islam itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Malah, beliau menegaskan, beliau menegaskan bahawa BN akan tetap menentang PAS. – 29 Januari 2018.