SPRM Terima Senarai Calon BN Untuk Saringan, Siasat Projek Dewan SMK Hutan Melintang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu belum menerima senarai calon daripada parti pembangkang untuk tujuan saringan awal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya bagaimanapun telah menerima senarai nama calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk tujuan tersebut.

Katanya, senarai calon yang diterima itu hanya membabitkan beberapa individu tertentu sahaja dan bukan senarai lengkap.

“Setakat ini, kita hanya menerima beberapa senarai nama yang dikemukakan oleh pihak kerajaan. Ia tidaklah lengkap lagi.

“Kita akan buat proses penyaringan terhadap nama-nama yang telah dihantar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke SPRM Kelantan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana parti tidak perlu bimbang untuk menyerahkan senarai calon mereka untuk disaring SPRM kerana agensi itu tidak membocorkan maklumat kepada mana-mana pihak.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM Perak akan memulakan siasatan berhubung projek pembinaan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang didakwa kurang memuaskan.

“Saya telah mengarahkan Pengarah SPRM Perak untuk segera memulakan siasatan hari ini dengan mendapatkan dokumen-dokumen lengkap daripada pihak tertentu yang terlibat dalam projek ini.

“Biasanya kes-kes begini melibatkan dokumen, jadi kita perlu meneliti dokumen-dokumen tertentu dahulu. Dalam masa yang sama, kita melihat kepada sudut rasuah ataupun salah guna kuasa dan keputusannya mungkin dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa tidak puas hati dengan projek berkenaan yang didakwanya tidak menepati standard yang dikehendaki.

“Saya tak puas hati keadaan dewan ini yang berharga RM600,000 tapi dibina seperti harga RM300,000 dan saya nak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat,” kata Ahmad Zahid.

Beliau memberi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa pembinaan serta kontraktor yang membina dewan berkenaan menyelesaikan masalah tersebut.

“Jadi saya mahu dalam tempoh tiga bulan yang terlopong ini mesti ditutup, lantai mesti dimarmarkan supaya lebih cantik, kipas bilah besar dipasang bukan kipas kecil.

“Jangan main-main dengan saya walau saya duduk di atas saya tetap berpijak di bumi Bagan Datuk kerana saya adalah rakyat Bagan Datuk,” katanya.

TAhmad Zahid akan melawat dewan itu lagi selepas tiga bulan bagi melihat dewan berkenaan dibina mengikut nilai peruntukkan yang ditetapkan.

“Siapa kontraktor saya bagi amaran kalau harga RM600,000 nilainya mesti sama bila dibina bukan dengan binaan seperti bernilai RM300,000, saya tidak boleh terima.

“Saya akan buat lawatan mengejut untuk melihat dewan ini lebih baik dari sekarang,” katanya. – 29 Januari 2018.