Hadi Selar Mahathir Undang Campur Tangan Asing

PAS menyelar pertemuan calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan 16 duta negara Kesatuan Eropah (EU) yang jelas merupakan cubaan untuk melibatkan campur tangan asing di dalam urusan negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Dr. Mahathir hendak bertanding di Malaysia maka berjumpalah dengan orang Malaysia bukannya orang luar.

“Orang Eropah bukannya mengundi di sini dan tindakan itu seolah-olah mengundang campur tangan asing ke negara ini,” katanya.

Khamis lalu, Dr. Mahathir mengetuai pertemuan Pakatan Harapan dengan duta EU di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, EU disertai 14 duta dan tiga Kuasa Usaha Tetap di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

Dalam pertemuan itu, Pakatan Harapan juga menggesa negara-negara Eropah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa untuk PRU-14. – 30 Januari 2018.